Perkhidmatan Perundingan

PENGENALAN

USIM sememangnya menggalakkan hubungan dan jalinan antara stafnya dengan pihak luar termasuk swasta, badan-badan berkanun, kerajaan dan bukan kerajaan. Penglibatan staf USIM melalui kerja-kerja perundingan akan dapat meningkatkan tahap akademik dan profesionalisme mereka. Walau bagaimanapun, kerja-kerja sedemikian akan mendedahkan pihak USIM serta stafnya kepada unsur-unsur risiko kewangan dan bukan kewangan daripada beberapa aspek.

Perundingan berasaskan kepakaran ditakrifkan sebagai kegiatan seseorang atau sekumpulan orang untuk memberi perkhidmatan kepakaran atau kemahiran kepada pihak yang memerlukan. Kerja-kerja sedemikian mungkin berbentuk lisan atau berbentuk laporan bertulis sebagai hasilnya. Klien bertanggungjawab sama ada menerima atau menolak nasihat tersebut.

Perkhidmatan kepada kepada pihak luar disediakan oleh PLMJI adalah terdiri daripada tiga jenis :

  • Penyelidikan
  • Khidmat Nasihat
  • Program/ Kursus Jangka Pendek

TANGGUNGJAWAB PERUNDING

  1. Staf perunding adalah bertanggungjawab untuk melaksanakan kontrak perundingan menurut terma rujukan kontrak perundingan.
  2. Staf perunding bertanggungjawab untuk menyelesaikan tugasnya dengan kualiti kerja yang tinggi dan dalam tempoh waktu yang ditetapkan.
  3. Staf perunding hendaklah mengutamakan kepuasan klien pada setiap masa, sama ada dalam perhubungan rasmi, penyediaan laporan atau apa jua bentuk produk perundingan yang dikehendaki oleh klien.
  4. Dalam menjalankan kerja perundingan, staf perunding hendaklah tidak membelakangkan tugas awam demi kepentingan peribadinya dan tidak menggunakan kedudukannya sebagai staf perunding semata-mata bagi mendapatkan faedah bagi dirinya sendiri.